Sejak akhir-akhir ini, isu berkenaan gejala
ponteng sekolah dalam kalangan pelajar semakin berleluasa. Perbuatan ini merupakan
satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Menurut Kamus Dewan,
ponteng merujuk kepada pelajar yang menghadiri sekolah tetapi tidak menghadiri
kelas, sama ada salah satu kelas, beberapa kelas ataupun kesemua kelas dalam
satu-satu hari. Gejala ini kebiasaanya melibatkan para pelajar kuhusunya
merujuk kepada golongan pelajar peringkat sekolah menengah.
Isu ini boleh dikaitkan dengan pengurusan
disiplin pelajar di sekolah. Sekiranya sesebuah sekolah itu mempunyai pelbagai
masalah yang melibatkan pelajar seperti membuli, merokok, merosakkan harta
benda sekolah dan ponteng sekolah, sudah pasti pengurusan disiplin di sekolah
tersebut perlulah diperbaiki. Hal ini demikian kerana sekolah tidak menitikberatkan
soal disiplin pelajar dan terdapat kelonggaran disiplin yang akan memberi
peluang kepada para pelajar untuk melakukan perbuatan gejala sosial seperti
ponteng sekolah. Sebagai contoh, pada hari pertama persekolahan, pihak sekolah perlulah
memberikan penjelasan kepada para pelajar berkenaan peraturan-peraturan sekolah
dan hukuman-hukumannya. Sekiranya terdapat pelajar yang melanggar peraturan
sekolah, guru yang bertanggungjawab perlulah mengambil tindakan dengan segera
agar pelajar itu insaf dan menjadi pengajaran buat pelajar yang lain. Oleh itu,
pihak sekolah perlulah memberi penekanan terhadap disiplin pelajar agar masalah
ponteng sekolah dan gejala sosial yang lain dapat diatasi.
Selain itu, sekolah dan persekitaran juga
memainkan peranan penting bagi menangani isu ini. Gejala ponteng sekolah ini
boleh dikawal apabila ibu bapa, institusi masyarakat atau pihak luar memberikan
kerjasama kepada pihak sekolah. Justeru mereka perlu memainkan peranan mereka
sebagai mata dan telinga pihak sekolah. Pelajar yang ponteng sekolah
kebiasaannya akan mengunjungi ke tempat-tempat hiburan seperti pusat membeli
belah, kafe siber dan pusat karaoke. Oleh itu, golongan ini mestilah melaporkan
kegiatan ponteng kepada pihak sekolah apabila mereka terjumpa atau ternampak pelajar-pelajar di pusat hiburan.
Sokongan daripada pihak ibu bapa dan institusi masyarakat untuk melaporkan
kepada pihak sekolah berkenaan gejala ini akan memberikan kesedaran kepada para
pelajar untuk tidak ponteng sekolah lagi, bahkan gejala ini dapat dikurangkan.
Ringkasnya, para pelajar akan takut untuk ponteng sekolah kerana gerak geri
mereka akan sering diperhatikan oleh masyarakat dan seterusnya membuat laporan
kepada pihak sekolah.
Kesimpulannya,
perbuatan ponteng sekolah dalam kalangan pelajar perlulah ditangani dengan
segera oleh semua pihak. Hal ini kerana perbuatan ponteng sekolah akan
membahayakan keselamatan para pelajar itu sendiri dan akan mewujudkan pelbagai
gejala sosial dalam kalangan pelajar. Selagi masalah ponteng sekolah masih
berleluasa, hasrat negara untuk melahirkan pelajar-pelajar yang bermatabat mulia dan berdaya maju tidak
akan kecapi, bahkan wawasan 2020 juga tinggal sebagai khayalan sahaja. Hal ini
demikian kerana pelajar merupakan aset negara yang akan mewarisi dan menerajui
negara ini pada masa akan datang. Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama
dalam menangani isu ponteng sekolah yang semakin meningkat saban tahun.
No comments:
Post a Comment